Ini ekoran permintaan peneroka yang mahu belajar lebih jelas mengenai kelebihan pelaburan dan pasaran saham.
SHAH
ALAM: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) Felda bersama Persatuan Remisier
Bumiputera Malaysia (Pribumi) menubuhkan Sekretariat Pendidikan
Pelaburan Peneroka Generasi Felda (S3PGF) yang akan menjelajah seluruh
negara bertujuan menerangkan kepada peneroka tentang selok belok
pelaburan saham.
Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Gabungan Peneroka Generasi
Wawasan Felda Kebangsaan (Gempak) dan Persatuan Pengamal Undang-undang
Generasi Felda Malaysia (PPUGFM) mengambil inisiatif itu ekoran
permintaan peneroka yang mahu belajar lebih jelas mengenai kelebihan
pelaburan dan pasaran saham.
Timbalan Pengerusi GWGF Datuk Abdullah Abu Bakar memberitahu
pemberita bahawa S3PGF akan mula turun padang mulai Khamis ini di Felda
Kerteh 6 di Terengganu bagi menerangkan tentang pasaran saham, aspek
perundangan yang terlibat serta faedah yang diperoleh.
Beliau berkata sepanjang sesi jelajah itu juga peneroka akan
didedahkan tentang peluang untuk menyertai pelaburan pasaran saham yang
terdapat di negara ini serta khidmat nasihat dari pakar yang turut
sama semasa sesi penerangan berkenaan dijalankan.
“Peneroka yang berminat boleh membuka pelaburan mereka semasa siri jelajah ini diadakan di kawasan mereka,” katanya.
Terdahulu, kesemua NGO terbabit menandatangani perjanjian
persefahaman (MoU) penubuhan S3PGF disaksikan oleh Pengerusi GWGF Tan
Sri Rozali Ismail.
Rozali dalam ucapannya berkata penubuhan sekretariat itu adalah satu
langkah proaktif bagi menyokong penuh hasrat murni kerajaan berkaitan
penyertaan warga peneroka dan generasi Felda dalam pasaran modal khasnya
penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.
“Kita harap isu seperti prosedur dan penyenaraian serta penglibatan
peneroka dapat dijelaskan. Kita jangan jadi kacang lupakan kulit, semua
warga Felda perlu hargai dan ingat semua jasa peneroka terdahulu.
“Kerajaan sendiri telah berjanji dan menjamin bahawa kepentingan seluruh warga Felda akan dipelihara,” katanya.
- Bernama
Aplikasi Sujood | Platform untuk Menderma Kepada Masjid atau Surau
2 tahun yang lalu
0 Comment:
Catat Ulasan